Saturday, June 5, 2010

Penglibatan Ibu Bapa


Taska Permata Keluarga Kg Ibok amat menekankan kepada penglibatan ibu bapa di Taska.
Penglibatan ibu bapa merupakan satu proses di mana ibu bapa melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan untuk memperkukuhkan amalan asuhan yang sedia ada dan memperkayakan perkembangan kanak-kanak.
Apabila adanya penglibatan ibu bapa di Taska, ibu bapa dan pendidik sebagai satu pasukan dapat bekerjasama demi kepentingan kanak-kanak. Suasana yang menggalakkan dapat diwujudkan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak khasnya keyakinan dan konsep diri sendiri.
Kanak-kanak juga akan merasa selesa dan gembira. Dengan adanya kesinambungan dari Taska ke rumah dan sebaliknya, kanak-kanak akan mempunyai peluang mencapai perkembangan menyeluruh. Penglibatan ibu bapa di taska juga secara tidak langsung membantu ibu bapa meningkatkan kemahiran mereka dengan merancang kegiatan-kegiatan untuk kanak-kanak, berhubung dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang lain. Dengan mengambil bahagian dalam kegiatan di taska, mereka dapat berkongsi pengalaman dan menasihati ibu bapa yang lain.
Sehubungan dengan itu, Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu akan senantiasa merancang, menyedia dan menjalankan pelbagai program seperti Bengkel Bermain Sambil Belajar, Bengkel Kemahiran Keibubapaan dan sebagainya bagi memastikan para ibu bapa mendapat pengetahuan dan meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam amalan asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.

1 comment:

  1. Terima kasih diucapkan kepada para ibu bapa yang hadir pada Bengkel Bermain Sambil Belajar pada 29hb Mei 2010 yang lalu. Kami mengharapkan penglibatan aktif ibu bapa yang berterusan demi perkembangan anak-anak di Taska.

    ReplyDelete